E B I D M O T O R

Loading

Pilih Tayar Ikut Keperluan! Harga Berlain-lain Disebabkan Material Tayar!

 

Setiap indivuidu yang memiliki kenderaan sendiri tidak kiralah kereta ataupun motosikal, bahagian tayar adalah antara satu bahagian yang perlu ambil tahu.

Bagaimana untuk mengetahui apa jenis tayar yang dikategorikan sebagai prestasi tinggi dan bagaimana untuk memilih saiz tayar yang sesuai dengan motosikal anda?

 

Pemilihan Tayar Prestasi Tinggi

Saiz rim lebar yang didatangkan pada kapcai premium pilihan ramai, seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R sedikit sebanyak mempengaruhi penunggangnya menyarungkan set tayar prestasi tinggi kegunaan superbike yang lebih lebar, lebih bergaya dan semestinya lebih mahal.

Alasannya mudah, jika tayar itu sesuai untuk motosikal berkuasa tinggi, sudah tentu juga sesuai untuk kapcai berkuasa tinggi, sekali gus membolehkan mereka memecut lebih pantas dan melayan selekoh hingga mencecah lutut.

Memang benar, tayar motosikal berkuasa tinggi semestinya memberikan prestasi lebih baik berbanding tayar biasa. Namun, disebabkan tayar berkenaan direka untuk tujuan tertentu, sebaiknya pemilihan tayar dibuat dengan mengambil kira paten tunggangan terlebih dahulu.

Contohnya, penunggang yang berulang alik ke tempat kerja setiap hari perlu menumpukan kepada aspek:

  •  Ketahanan
  • Jangka hayat
  • Tahap cengkaman (jalan kering dan basah)

Semua aspek di atas ini adalah bagi menyesuaikan situasi tunggangan dengan kondisi cuaca yang tidak menentu.

Buat penunggang hujung minggu (kerana memandu ketika hari bekerja atau naik pengangkutan awam), pemilihan tayar adalah lebih fleksibel tanpa perlu menitik beratkan tahap cengkaman atas jalan basah, termasuk jangka hayat tayar. Tetapi, mereka masih perlu mengambil kira perihal harga supaya pembelian tidak terlalu membazir.

 



 

Semua situasi berikut memerlukan pemilihan tayar yang boleh dibezakan melalui material kompaun dan kategori seperti berikut:

 

1. KOMPAUN TAYAR (COMPOUND)

Material tayar yang anda gunakan bukanlah 100 peratus daripada getah, sebaliknya terdiri daripada sebatian (compound) getah dan bahan kimia lain yang mampu memberikan kadar kekenyalan berbeza. Kadar kekenyalan itu menentukan tahap kehausan dan harga, di mana tayar kompaun lembut lebih cepat haus dan berharga mahal.

Memandangkan panduan ini menumpukan kepada faktor kelajuan dan ekonomi, pemilihan kompaun paling sesuai adalah daripada jenis tayar medium. Walaupun lebih lembut berbanding tayar getah biasa, tetapi masih mempunyai jangka hayat sekitar 8,000-12,000km bergantung jenis motosikal dan paten tunggangan.

Jika lebih berkemampuan, anda boleh memilih tayar dwi-kompaun yang mana kompaun medium digunakan pada tengah tayar untuk ketahanan, manakala kompaun lembut pada sisi tayar untuk memberikan cengkaman ketika mengambil selekoh.

 

2. KATEGORI TAYAR

Pemilihan kompaun turut ada kaitan dengan kategori tayar, dan pilihan utama terdiri daripada jenis Sport dan Sport Touring:

  • Sport Touring - Diperbuat daripada material kompaun medium. Tayar dalam kategori ini boleh dianggap mampu milik, tetapi boleh juga didapati dengan material dwi-kompaun. Selain menawarkan tahap cengkaman tinggi dalam keadaan kering, rekaan paten alur atau groove pada tayar Sport Touring direka untuk menyisihkan air lebih cepat, sekali gus memberikan cengkaman tinggi pada permukaan basah juga. Tayar jenis ini sesuai untuk tunggangan harian.

 

  • Sport -  Diperbuat daripada material dwi-kompaun yang mana luas bunga tayar (tread) besar memberikan cengkaman tinggi atas permukaan kering baik sama ada di jalan lurus atau selekoh. Paten alur pendek pula, walaupun kurang efektik untuk mencengkam jalan basah, berfungsi sebagai ruang fleksibiliti yang membolehkan jejak tayar berubah bentuk mengikut kondisi permukaan jalan. Tayar jenis ini sesuai untuk tunggangan santai pada hujung minggu.

Kepada penunggang yang mahu masuk trek atau track-day, jangan terlalu gelojoh mahu mendapatkan tayar spesifikasi perlumbaan atau jenis slik yang lebih mahal. Ini kerana tayar Sport dan Sport Touring juga masih mempunyai kemampuan dan kualiti yang cukup untuk tunggangan dalam litar, melainkan skil tunggangan anda sudah di tahap pelumba sebenar.

Sesetengah tayar Sport Touring turut didatangkan dalam versi hujan; memberikan cengkaman yang lebih cemerlang berbanding tayar biasa. Bukanlah bermakna dengan menggunakan tayar ini anda masih dapat mengambil selekoh pada sudut ekstrem walaupun semasa hujan lebat tetapi penggunaannya lebih-lebih lagi semasa musim tengkujuh setiap hujung tahun sebagai contoh sedikit sebanyak meningkatkan lagi keyakinan tunggangan anda.

Masih sukar buat pilihan? Sesetengah pengeluar tayar turut memaparkan klasifikasi dan rating tayar di laman web rasmi bagi memudahkan pengguna seperti anda menilai jenis tayar yang sesuai untuk kegunaan dan kehendak peribadi selain kesesuaian penggunaan mengikut cuaca. Berikut ialah maklumat seperti ditunjukkan laman web Michelin seperti di bawah ini:

 

3. PEMILIHAN SAIZ TAYAR

Sama seperti pemilihan jenis tayar di atas, kehadiran jentera berprestasi tinggi memang menjadikan populariti tayar lebar semakin meningkat di kalangan penunggang kapcai berkuasa tinggi. Tidak dinafikan tayar lebar mampu memberikan cengkaman tinggi, tetapi ramai tersalah anggap bahawa sesebuah motosikal memerlukan tayar yang lebih lebar berbanding saiz asal jika mahu mendapatkan lebih cengkaman di selekoh.

Faktanya, saiz dan lebar tayar asal sebenarnya sudah mencukupi kerana pengeluar terlebih dahulu mengambil kira tahap kuasa dihasilkan sesebuah motosikal. Ini termasuk mempertimbangkan skil tunggangan majoriti bakal pemilik bagi mendapatkan padanan saiz rim dan tayar yang sesuai.

Sebaik-baiknya, tukar dahulu tayar asal kepada tayar prestasi tinggi mengikut saiz asal sebelum memikirkan apakah anda sudah cukup menguasai skil tunggangan yang memerlukan saiz tayar lebih lebar?

chicke strip labelno chicken strip 2

Caranya, perhatikan lebar kawasan jejak atau bekas geseran jalan yang berbaki pada tayar motosikal anda (foto atas kiri), juga digelar 'chicken strips', iaitu istilah khas yang ditujukan kepada penunggang yang kurang berani (chicken = ayam) melayan 'corner baring'. Di bawah ialah contoh chicken strips yang berpunca daripada kombinasi tayar lebar dan skil tunggangan kurang mantap.

Anda juga dapat perhatikan, pemilihan tayar yang melampau lebar turut membuatkan profil tayar membulat. Ini mengurangkan permukaan sentuhan dalam situasi menegak yang berisiko menyebabkan bahagian tengah tayar lebih cepat haus, dan memerlukan anda menukar tayar lebih cepat.

Berbeza pula contoh di atas (foto atas kanan), baki chicken strips sangat sedikit. Itu menandakan si penunggang berjaya memaksimumkan penggunaan tayar tersebut. Jika anda juga berjaya mencapai penggunaan maksimum seperti dalam gambar ditunjukkan, bolehlah berkira-kira menaik taraf kepada tayar lebih lebar. Jika tidak, eloklah kekal sahaja dengan saiz tayar asal.

Penting juga memastikan saiz rim sebelum membuat keputusan memilih saiz tayar. Ini kerana saiz rim turut mempengaruhi bentuk tayar selepas dipadankan. Sesetengah laman web pengeluar tayar seperti Corsa ada menyediakan senarai saiz rim yang sepadan dengan saiz tayar jenama itu.

 

TUKAR TAYAR BOLEH DIANGGAP MODIFIKASI UNTUK TAMBAH KELAJUAN?

Mungkin ada yang masih ragu-ragu, betul atau tidak menukar tayar mampu membuatkan motosikal lebih laju? Persepsi tersebut tidak menghairankan kerana selama ini tayar hanya dilihat sebagai komponen untuk sesebuah motosikal bergerak.

Anda perlu faham, motosikal yang dipasarkan untuk kegunaan praktikal, misalnya moped, dibangunkan untuk penjimatan, dan salah satu cara mencapai tahap penjimatan terbaik adalah menggunakan tayar ekonomi untuk jangka hayat lebih lama.

Apa yang kurang enak, bagi penggemar kelajuan, tayar ekonomi menggunakan kompaun yang keras, sekali gus kurang memberikan cengkaman, dan berbahaya ketika membrek atau melayan selekoh dalam kelajuan tinggi.

Jadi, menukar tayar asal kepada tayar berprestasi tinggi dan memilih saiz tayar yang sesuai sememangnya dapat meyakinkan penunggang untuk beraksi lebih laju dan selamat walaupun bukan 100 peratus meningkatkan prestasi motosikal anda.

Sumber: Pandulaju.com



Ebidmotor.com - Platform Pembidaan Motosikal Pertama di Malaysia. Harga kami rendah daripada harga pasaran!

Semua pelanggan boleh membeli motosikal melalui pembidaan atas talian (Online Bidding), pembelian atas talian (Online Direct Buy) atau membeli di showroom kami. Kami akan uruskan penghantaran dan segala proses untuk pembeli dari negeri lain. (Pembeli membeli melalui laman web, buat bayaran kepada akaun Ebid Motor Sdn Bhd, thumbprint di JPJ berdekatan, dan duduk rumah tunggu motor sampai sahaja!)

 

 

EBID MOTOR SDN BHD

No 6, Jalan AWF 1, Ampang Water Front, 68000 Ampang, Selangor

Share:
EbidMotor
Hi there,
How can I help you?
00:01
Start Chat