Loading
Jika dibandingkan dengan negara jiran Thailand, kapcai Y15ZR dan RS150 lebih menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Ini kerana kapcai ini dikatakan lebih praktikal dan mudah untuk menyelit, mencelah dan mencilok di bandar raya.
Tidak hairan lah jika pengeluar motorsikal di Malaysia berlumba-lumba untuk menghasilkan jentera "Moped" berkuasa tinggi seperti SYM VF3i dengan enjin bernadikan 185cc atau Benelli yang dengar cerita nak hasilkan 200cc kapcai! wowww, padu!
Tetapi pernahkah anda terfikir, bagaimanakah jika semua kapcai di bawah ini mempunyai sesaran enjin sama, 150cc? Pengeluar mana satukah yang berjaya memerah paling banyak kuasa untuk setiap cc sesaran enjin mereka?
Jawapannya, ada di bawah!
Sesaran: 134.4cc | Kuasa Maksimum: 11.97hp | Tork Maksimum: 11.79NmKuasa dengan Enjin 150cc: (11.97/134.4) x 150 = 13.36hp#
Yamaha 135LC pernah mengecapi zaman kegemilangan sebagai raja kapcai 4-lejang, sebelum takhta itu diambil alih penggantinya, Yamaha Y15ZR. Sejak diperkenalkan hampir 15 tahun lalu, selain rekabentuk dikemas kini, spesifikasi asal masih kekal hampir 100 peratus sama, termasuk penggunaan karburetor, brek dram belakang, transmisi klac automatik 4-kelajuan dan juga kuasa 11.97hp.
Adakah berbaloi dengan penjimatan RM3,000 berbanding Y15ZR? Anda tentukan.
Sesaran: 149.7cc | Kuasa Maksimum : 15.15hp | Tork Maksimum: 13.8NmKuasa dengan Enjin 150cc: (15.15/149.7) x 150 = 15.18hp#
Yamaha Y15ZR mengambil alih tempat 135LC dengan rekabentuk lebih sporty dan enjin 150cc yang diambil daripada naked bike, FZ150i. Walaupun asasnya hampir sama dengan 135LC, iaitu silinder tunggal 4-injap SOHC penyejukan cecair, jelas enjin 150cc ini diberikan talaan lebih tinggi dan bukan sekadar 'enjin LC bersesaran tinggi'.
Tetapi, adakah enjin 135LC tadi akan lebih berkuasa juga jika dilengkapi sistem suntikan bahan api dengan talaan dan sesaran sama? Cuba tanya kepada mereka yang pernah buat modifikasi sebegini kalau ada.
Sesaran: 149.16cc | Kuasa Maksimum: 15.42hp | Tork Maksimum: 13.5NmKuasa dengan Enjin 150cc: (15.42/149.16) x 150 = 15.51hp#
Walaupun dilengkapi sistem DOHC yang lebih superior, output kuasa HONDA RS150R tidak jauh berbeza dengan Y15ZR. Bagaimanapun masih jelas, dengan sesaran lebih kecil, ia mampu menghasilkan lebih kuasa daripada jentera Yamaha tadi.
Jika melihat prestasi sportbike Honda CBR 150R (untuk pasaran Indonesia) dengan kod enjin sama yang mampu menjana kuasa setinggi 17hp dan tork 14.4Nm, kami tidak menolak kemungkinan prestasi RS150R mampu diperah lebih tinggi hanya dengan talaan ECU.
Sesaran: 149.8cc | Kuasa Maksimum: 15.15hp | Tork Maksimum: 13NmKuasa dengan Enjin 150cc: (15.15/149.8) x 150 = 15.17hp#
Benelli RFS 150i menarik perhatian ramai kerana ia bukan saja satu-satunya kapcai jenama Itali (walaupun kami tahu buatan China), tetapi turut menawarkan spesifikasi unik untuk segmen kapcai seperti fork terbalik (USD) dan sistem pencucuhan dengan tiga palam pencucuh (triple spark technology).
Bagaimanapun dari segi prestasi, kapcai ini cuma cukup-cukup makan untuk bersaing dengan Y15ZR, itupun selepas mengorbankan tork sebanyak 0.8Nm. Mungkin enjin baru 200cc dwi-silinder akan menjadi taruhan lebih tepat jika Benelli mahu mencabar pesaing lain dalam kategori kapcai? Kita tunggu.
Sesaran: 183cc | Kuasa Maksimum : 17.7hp | Tork Maksimum: 15.3NmKuasa dengan Enjin 150cc: (17.7/183) x 150 = 14.51hp#
SYM mungkin sedar, sukar untuk bersaing atas padang yang sama. Jadi, kapcai prestasi tinggi jenama ini didatangkan dengan enjin bersesaran jauh lebih tinggi berbanding pesaing. Benar, dari segi kecekapan, ia corot. Namun mengambil kira kuasa tinggi tanpa perlu sebarang modifikasi dan juga harga setanding pesaing dalam segmen 150cc, tidak sukar untuk melihat kenapa kapcai SYM ini menjadi pilihan penggemar kapcai Malaysia.
Apa kata anda?