E B I D M O T O R

Loading

Modified motor dibenarkan ke tidak ?

Ubahsuai atau bahasa mudahnya "modi","modify" adalah perkara biasa kita dengar di dalam era permotoran ataupun kereta. Tidak kira lah sama ada modify kereta atau motorsikal masing-masing tetap mempunyai undang-undang yang hampir sama dan perlu dipatuhi oleh semua. Mari kita baca sikit adakah semua jenis ubahsuai motorsikal salah di sisi undang-undang.

Secara umumnya, semua tahu ubahsuai yang dibenarkan jika ia nya masih mengikut Vehicle Type Approval (VTA) iaitu undang-undang yang hanya diluluskan oleh JPJ. Secara ringkas, hanya kenderaan yang mendapat kelulusan VTA sahaja yang boleh digunakan di atas jalanraya dan boleh dijual semula

Sekiranya anda masih juga mahu melakukan modifikasi terhadap motor sendiri tanpa mengikut VTA yang telah ditetapkan, bersedialah jika anda dikenakan sebarang tindakan kerana ia nya tidak murah.

Admin akan kongsi serba-sedikit beberapa kesalahan yang kebiasaannya dilakukan oleh para 'modifier' tegar supaya anda tahu ada modifikasi yang dibenarkan tetapi mempunyai had, dan ada modifikasi yang memang tidak boleh dilakukan. Lepas baca artikel ini boleh lah anda fikir sejenak adakah anda perlu melakukan modifikasi yang melanggar VTA apabila sudah mengetahui akibatnya.

Ekzos bising
Bunyi ekzos padu kata anda semua, tapi kalau bagi yang tidak biasa dengan dunia motor mereka panggil ekzos bising. Ini paling biasa kita jumpa di atas jalanraya, yang dah modi enjin semestinya nak pakai ekzos padu, yang enjin standard bunyi dah sampai motor masih tidak nampak bayang pun ramai juga.

Jawapan paling senang bila ditanya kenapa pakai ekzos bising? Nak bagi kereta perasan kehadiran anda dari belakang supaya kereta tidak tukar lane secara tiba-tiba. Jawapan memang logik, namun begitu admin terpaksa juga beritahu anda yang ia adalah modifikasi yang salah. Tahap bising ekzos yang melebihi 2-3 dB ketika ekzos sedang panas bersedialah untuk diambil tindakkan (bergantung kepada budi bicara pegawai yang menahan anda)
tetapi jika tidak lebih dari had VTA, anda mungkin boleh lepas (juga bergantung kepada budi bicara)
 

Tayar Kecil
Penggunaan tayar kecil dah lama kita nampak dari sebelum zaman Y15zr lagi. Rxz, 125zr, Panther semua tu da lalui pakai tayar kecil dan tayar "sotong". Tetapi tayar yang terlalu terang-terangan kecilnya itu adalah salah di sisi undang-undang. Sebab nya? Ia berkaitan dengan keselamatan penunggang dan pembonceng. Bebanan yang dibawa tidak sesuai untuk ditampung oleh tayar kecil dan ia amat merbahaya dengan struktur jalanraya di negara yang tidak boleh disebutkan di sini. 
Ada yang cakap pakai tayar kecil baru lah ada "lingan" (ringan), sangat ringan ketika jalan lurus, tak boleh bayangkan anda corner dalam kelajuan tinggi. Melainkan kalau anda memang pelumba cub prix profesional.
 

Tayar Besar
Ini adalah antara modifikasi yang dibenarkan namun ia nya bersyarat dan tidak boleh sewenang-wenangnya boleh dilakukan tanpa mengambil kira syarat ini. Syaratnya anda tidak boleh mengubah kedudukan "front fork" dan juga "swingarm" standard motorsikal terbabit. Selain itu kedudukan brek juga tidak boleh diubah hanya kerana ingin merealisasikan impian tayar besar anda itu kerana posisi brek setiap motorsikal telah diuji keberkesanannya ketika ujian VTA.

Tukar cover set
Era permotoran yang sentiasa penuh dengan warna-warni "cover set" motorsikal tidak pernah pudar di kalangan "rider" di negara kita. Kadang-kadang setiap kali beli baju raya mesti nak beli baju raya (cover set) untuk motor sekali Itu belum lagi mengambil kira mereka yang kreatif untuk membuat pelbagai "design" "airbrush" pada "cover set" motorsikal, lagi lah bertambah meriah. 
Namun begitu tahukah anda sekiranya anda mengubah warna "cover set" anda lain daripada yang asal, anda perlu memaklumkan kepada JPJ bagi tujuan pengesahan. Kebanyakkannya tidak menghadapi sebarang masalah melainkan "cover set" Y15ZR anda mengubah motor anda menjadi X1R, kemungkinan JPJ tidak akan memberi kelulusan.
 

Said Mirol (Cermin sisi)
Terang-terangan kenderaan tanpa cermin sisi adalah motorsikal yang tidak lengkap. Kita telah diajar sejak dari bangku sekolah lesen memandu lagi yang motorsikal perlu ada cermin sisi. Ya, masa ujian depan JPJ kita beriya cek cermin sisi dengan semangatnya. Jadi pasanglah side mirror kerana ia juga melibatkan faktor keselamatan ketika menunggang motorsikal.

No plat
Satu benda yang gemar ditukar oleh pemilik. Selagi ia tidak melanggar peraturan paparan nombor plat pendaftaran, tak jadi masalah. Tetapi, sekiranya ia melibatkan ubahsuai visual plat berkenaan, misalnya dengan reka abjad-abjad fancy, permukaan berkilat, saiz huruf dan nombor yang kecil, timah “meleleh” dan lain-lain, maka itu satu kesalahan. Pemilik boleh dikenakan denda RM300.
 

"Upgrade" kabel
Antara modifikasi yang tidak menjadi kesalahan ialah apa-apa perkara yang melibatkan naik taraf tanpa mengganggu aspek teknikal lainnya. Sebagai contoh, sekiranya pemilik menukar kabel-kabel yang ada kepada jenis yang lebih berkualiti tinggi dan lebih cekap. Sebagai contoh menukar kabel brake performance untuk mendapatkan cengkaman brake yang kuat, tiada kesalahan yang dilakukan.

Ubahsuai enjin
Perkara yang sudah biasa didengari apabila pemilik motorsikal ingin upgrade enjin, piston, pakai blok besar dan sebagainya. Ia telah menjadi lumrah dalam dunia permotoran, lebih-lebih lagi pemilik motorsikal 4 lejang yang mengatakan motor sekarang "cut off" kuat, enjin "standard" tidak boleh pergi laju, nak konvoi nanti tertinggal jauh dan bermacam lagi ragam. Tidak menjadi satu kesalahan jika anda melakukan semua perkara ini kerana itu adalah motor anda sendiri, namun ia menjadi kesalahan apabila ia tidak mendapat kelulusan dari JPJ.

Sudah lakukan pemeriksaan di JPJ masih tak lulus? Jika memang minat anda upgrade enjin motor gunakanlah di saluran yang betul seperti berlumba di litar perlumbaan.
 

Hukuman
Jika motorsikal dimodifikasi secara berlebihan ini ditemui di atas jalan raya dan diperiksa on-the-spot, maka pihak berkuasa berhak untuk untuk menyita motosikal anda. Bukan itu saja, pemilik juga akan dikenakan denda minimum RM3,000 sebelum boleh mengambil semula motosikal mereka, dan dalam masa tujuh hari motosikal terbabit perlu diubah kembali kepada spesifikasi asal dan dibawa untuk pemeriksaan JPJ bagi mendapatkan kelulusan. Denda maksimum untuk ini boleh mencecah RM20,000.

Perlu juga difahami bahawa semua ini boleh dikuatkuasakan sekiranya motosikal terbabit ditahan di atas jalanraya. Sekiranya motosikal yang diubah suai untuk tujuan pameran/perlumbaan dan sebagainya, dan diangkut untuk ke lokasi dengan lori, maka itu tidak menjadi kesalahan. Hanya motosikal yang digunakan di atas jalan raya akan berdepan tindakan seperti dinyatakan ini.